Pengarah Rumy Jafry mendedahkan sepatutnya aktor Sushant Singh Rajput, yang meninggal dunia baru-baru ini, akan membintangi sebuah filem komedi romantik arahannya bersama aktres Rhea Chakraborty.

Menurut Rumy, sesi penggambaran telah dijadualkan untuk bermula sebaik sahaja tempoh Perintah Berkurung di India tamat, bermula di Mumbai dan kemudiannya di London dan Punjab.

Filem yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan itu juga menandakan filem pertama gandingan Sushant dan Rhea, yang sebelum ini sering dispekulasikan sedang bercinta.

"Ia adalah sebuah filem komedi romantik, dan tujuan ia dibikin adalah untuk menerokai bakat tarian Sushant. Dia merupakan seorang penari yang hebat dan filem saya akan menyerlahkan bakatnya.

"Dia sangat mengagumi lakonan Shah Rukh Khan dan tarian Govinda jadi sebab itu saya telah sediakan lagu-lagu yang mempunyai tarian Govinda sebelum mahurat kami.

"Dia tidak mempunyai ramai kawan dalam industri tetapi sangat tekun terhadap kerjanya. Dia sering membaca skrip saya walaupun dalam tempoh berkurung dan teruja untuk bekerjasama," jelas Rumy yang dipetik dari Hindustan Times.

Tambah Rumy lagi, kali terakhir dia berhubung dengan Sushant adalah ketika mendapat tahu tentang berita kematian bekas pengurus Sushant iaitu Disha Salian, dan memesan supaya dia menjaga diri.

Dalam pada itu, Rhea telah memberi penghormatan terakhir buat Sushant apabila baru-baru ini dia dilihat beredar dari Hospital Cooper, Mumbai, di mana bedah siasat mayat Sushant dijalankan.

Lakonan Sushant bakal dilihat buat kali terakhir dalam filem romantik terbaru berjudul "Dil Bechara" arahan Mukesh Chhabra yang kini dalam proses pos-produksi.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Pinkvilla)