Selepas sedekad berehat dari dunia lakonan, kini aktres Sushmita Sen mengumumkan bahawa dia sudah bersedia untuk membuat kemunculan semula di layar perak.

"Saya kagum dengan orang-orang yang faham erti kesabaran. Ini yang membuatkan saya sayang akan para peminat saya! Mereka menanti selama 10 tahun untuk kemunculan semula saya di layar perak.

"Mereka sentiasa memberi sokongan sepanjang saya berada dalam tempoh berehat. Saya kembali hanya untuk anda!" tulisnya menerusi kapsyen foto yang dimuat naik di laman Instagram miliknya baru-baru ini.

Seperti yang dilaporkan menerusi Hindustan Times, kali terakhir bekas juara Miss Universe 1994 itu dilihat berlakon adalah menerusi filem arahan Anees Bazmee "No Problem" 2010 yang diterajui aktor veteran Sanjay Dutt.

Difahamkan Sushmita telah membuat keputusan untuk berehat dari lakonan selepas dia mengambil anak angkat, Alisah, pada 2010 dan tidak mahu ketinggalan melihatnya membesar.

"Ia bukan sahaja melihat langkah atau perkataan pertama mereka. Ia mengenai perubahan personaliti mereka, untuk melihat sendiri mereka membesar sebagai apa. Saya telah menjadi seorang ibu," tambahnya lagi.

Untuk rekod, Sushmita membuat debut sebagai aktres pada 1996 menerusi filem "Dastak", seterusnya membintangi beberapa filem seperti "Bas Itna Sa Khwaab Hai", "Samay: When Time Strikes", "Main Hoon Na" dan "Maine Pyaar Kyun Kiya?".


Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Sushmita Sen Instagram)
(Sumber artikel: Hindustan Times)