Seramai 34 individu termasuk selebriti Bollywood Sussanne Khan, atlet kriket India Suresh Raina dan penyanyi Guru Randhawa dilaporkan telah ditahan polis Mumbai dalam satu serbuan di kelab malam Dragonfly Experience pada Selasa.

Kenyataan itu telah dikeluarkan menerusi laman Twitter rasmi Polis Mumbai, di mana pengunjung kelab malam itu telah melanggar protokol kerajaan dan bakal berdepan tindakan lanjut.

Walau bagaimanapun, Sussanne tampil memberi penjelasan bagi pihaknya serta menafikan segala berita yang telah tular dalam kalangan media. Kenyataan itu dimuat naik di laman Instagram miliknya.

Menurut bekas isteri kepada aktor Bollywood Hrithik Roshan itu, dia menghadiri majlis makan malam sempena hari jadi rakannya dan sebahagian mereka pergi ke kelab malam Dragonfly Experience.

Setelah pihak berkuasa menyerbu premis itu, pengunjung diminta menunggu selama tiga jam sebelum dibenarkan untuk meninggalkan premis kira-kira jam 6 pagi.

"Spekulasi media yang menyatakan kami telah ditahan adalah tidak benar dan ia adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

A post shared by Sussanne Khan (@suzkr)

Sementara itu, laporan dari India Today, menyatakan bahawa Guru Randhawa telah mengeluarkan kenyataan bagi pihaknya, di mana dia meluahkan rasa kesal dengan tindakannya serta memohon maaf atas insiden yang berlaku malam itu.

"Guru Randhawa tidak menyedari akan perintah berkurung waktu malam yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa dan berjanji untuk mematuhi garis panduan serta protokol yang ditetapkan oleh kerajaan dengan mengambil langkah berjaga-jaga pada masa akan datang," kata pihaknya.

Suresh Raina pula dilaporkan berada di Mumbai kerana terlibat dengan penggambaran yang berlangsung hingga lewat malam dan kemudiannya pergi makan malam bersama rakannya di kelab itu sebelum berangkat pulang ke Delhi.

Polis memaklumkan Guru Randhawa dan Suresh Raina serta individu lain yang ditahan telah pun dibebaskan dengan ikat jamin.

Terdahulu, kerajaan Maharashtra telah melaksanakan perintah berkurung waktu malam dia beberapa kawasan tertentu selama 15 hari, sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19.

(Sumber foto: Sussanne Khan Instagram)