Aktres Taapsee Pannu disahkan untuk menerajui filem "Looop Lapeta", iaitu sebuah 'remake' versi Hindi kepada filem thriller klasik German berjudul "Run Lola Run" yang dibintangi Franka Potente pada 1998.

Filem asal yang turut menampilkan aktor Moritz Bleibtreu itu berkisarkan tentang seorang wanita yang perlu menyusun sebanyak 100,000 keping mata wang Deutsche demi menyelamatkan teman lelakinya.

Sehubungan dengan itu, filem versi Hindi ini bakal diarahkan oleh Aakash Bhatia, yang pernah menggarap beberapa episod siri televisyen "Inside Edge" seperti "Crossing The Line", "Turn" dan "Block Hole".

Menurut Pengarah Pengurusan Sony Pictures Entertainment India, Vivek Krishnani, "Looop Lapeta" adalah sebuah naskhah menarik yang menjadi tambahan kepada senarai filem-filem terbitan syarikat produksi itu.

"Kami mengagumi setiap aktor yang dipilih untuk menghidupkan skrip menarik ini. Pihak kami akan sentiasa berusaha untuk bekerjasama dengan pengarah serta pelakon-pelakon baru.

"Aakash Bhatia merupakan seorang salah seorang pengarah hebat dan kami menghargai pembabitannya dalam studio kami," ujarnya yang dipetik dari laporan Bollywood Hungama.

Diterbitkan oleh Sony Pictures Entertainment India dan Ellipsis Entertainment, filem "Looop Lapeta" dijangka untuk menemui penonton di pawagam pada 29 Januari 2021.

Beralih ke perkembangan lain, Taapsee bakal muncul dengan dua buah filem baru tahun ini iaitu "Thappad" arahan Anubhav Sinha, dan sebuah filem thriller misteri berjudul "Haseen Dillruba".

(Sumber: Bollywood Hungama)
(Sumber foto: Elle India)