Aktres Taapsee Pannu dilihat semakin aktif berlakon dan terbaru, dia telah ditawarkan untuk membawa watak joki lumba kuda wanita dalam sebuah biopik.

"Pengarah Shivam Nair telah menawarkan sebuah filem yang sudah lama berada dalam perancangannya kepada Taapsee. Ia berdasarkan kehidupan joki lumba kuda wanita pertama di India, Rupa Singh.

"Shivam telah pun mendapatkan kelulusan hak cipta untuk membikin filem ini dan kini dia sedang menulis skrip. Nampaknya Taapsee telah pun bersetuju dengan tawaran itu," jelas satu sumber terdekat.

Tambah sumber itu lagi, jalan cerita dan skrip masih belum dimuktamadkan tetapi ia adalah sebuah kisah yang menarik mengenai seorang wanita yang menceburi bidang pekerjaan lelaki.

Laporan dari Pinkvilla menyatakan sesi penggambaran bagi filem tersebut bakal dijalankan pada pertengahan tahun depan memandangkan Shivam sibuk dengan sebuah projek siri web.

Selain itu, Shivam juga akan memulakan penggambaran biopik mengenai Uzma Ahmed bersama Saif Ali Khan dan Shraddha Kapoor bermula Januari hingga Februari tahun depan.

Beralih ke perkembangan terkini, Taapsee sedang menantikan tayangan sebuah lagi filem biopik lakonannya bersama Bhumi Pednekar berjudul "Saand Ki Aankh".

Filem mengenai atlet penembak tertua di dunia iaitu Chandro Tomar dan Prakashi Tomar arahan Tushar Hiranandani itu akan dirilis pada 25 Oktober tahun ini.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber artikel: Pinkvilla)
(Sumber foto: Maxim Magazine)