Setelah berkecimpung dalam industri perfileman Bollywood selama hampir sedekad, aktres Taapsee Pannu memberitahu bahawa filem-filem bergenre thriller dan komedi merupakan genre kegemarannya.

Malah dengan sukacitanya Taapsee memberitahu sejak akhir-akhir ini dia sering menerima tawaran filem-filem bergenre thriller yang berbeza konsep, termasuk sebuah thriller yang berada dalam perancangan untuk tahun hadapan.

"Saya sangat sukakan filem-filem thriller dan komedi, dan pada pendapat saya, ia adalah genre yang selamat. Satu-satunya perkara yang penting adalah, ia memerlukan kesempurnaan yang tinggi pada skrip.

"Jika sebuah komedi tidak ditulis dengan baik, dan skrip sebuah thriller tidak padat dan mudah dijangka, filemnya akan mendatar pada minit-minit yang terawal. Tetapi jika anda boleh jayakan skrip kedua-dua genre ini, filemnya pasti akan berjaya.

"Setiap tahun, saya akan cuba melibatkan diri dengan sekurang-kurangnya satu filem thriller. Tahun lalu, ia adalah "Badla"; tahun ini, ia adalah filem arahan Anurag Kashyap, yang mempunyai konsep yang menarik. Ianya tidak pernah diterokai dalam industri perfileman India," katanya yang dipetik dari Times of India.

Dalam pada itu, seperti yang pernah diakui oleh aktor-aktor yang lain, aktres filem "Saand Ki Aankh" itu juga tidak menafikan genre komedi merupakan salah satu genre yang paling sukar untuk dijayakan.

Tambahnya lagi, genre komedi adalah sesuatu yang dianggap peribadi, yang mana ia tidak boleh dilakonkan dan ia perlu ada dalam diri seseorang aktor yang membintangi sesebuah filem komedi.

Dalam perkembangan lain, Taapsee yang kali terakhir dilihat membintangi filem "Thappad", bakal kembali dengan dua buah filem baru iaitu "Haseen Dillruba" arahan Anurag Kashyap, dan sebuah filem Tamil berjudul "Jana Gana Mana".

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Elle India)