Sejak Anurag Kashyap dituduh terlibat dalam kes gangguan seksual oleh aktres Payal Ghosh, Taapsee Pannu merupakan salah seorang selebriti Bollywood yang tampil mempertahankan pengarah terkenal itu.

Menurut Taapsee, dia mengenali Anurag sebagai seseorang yang sangat menghormati kaum wanita dan tidak pernah memburukkan mana-mana pihak walaupun jika ada pihak yang dengki dengannya.

"Orang lain, tidak kira wanita atau lelaki, sentiasa bercakap yang baik-baik tentangnya. Jika seseorang telah diganggu, biarkan mereka menjalankan siasatan sehingga kebenaran terungkai.

"Jika betul dia bersalah, sayalah orang pertama yang akan memutuskan hubungan dengannya. Namun jika siasatan itu tiada kesimpulan, bagaimana kes itu ditentukan?

"Saya telah cuba sehabis baik untuk bersikap neutral tetapi naluri saya berkata lain. Jika saya berdiam diri, saya rasa diri saya lemah kerana tidak mampu mempertahankan industri yang memberi saya identiti," katanya yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Bercakap mengenai projek terbarunya bersama Anurag yang kini dalam pra-produksi, Taapsee memberitahu filem itu akan memberikan keistimewaan yang tidak dapat dijangka oleh para penonton.

Filem yang mengetengahkan genre thriller 'supernatural' itu akan menampilkan Taapsee dengan satu watak berat, dan penggambaran akan bermula sebaik sahaja pihak produksi menemui lokasi sesuai.

Terdahulu, Taapsee pernah bekerjasama bersama Anurag menerusi filem "Manmarziyaan", berkisarkan kisah cinta tiga segi antara Taapsee dan dua aktor terkenal, Abhishek Bachchan dan Vicky Kaushal.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Pinkvilla)