Tayangan dua buah filem yang dinanti-nantikan peminat iaitu "Malang" dan "Chhalaang" terpaksa ditunda ke tarikh yang baru bagi mengelak tayangan kedua-dua filem itu bertembung dengan filem besar lain.

Menurut laporan dari Bollywood Hungama, produksi yang menerbitkan kedua-dua filem itu iaitu Luv Films telah mengubah tarikh tayangan filem romantik "Malang" yang dibintangi oleh Anil Kapoor, Aditya Kapoor, Disha Patani dan Kunal Kemmu.

Filem arahan Mohit Suri itu sepatutnya ditayangkan pada Hari Kekasih tetapi terpaksa ditukar tarikh lebih cepat iaitu pada 7 Februari 2020 bagi memberi laluan kepada filem romantik arahan Imtiaz Ali "Aaj Kal" yang dibintangi oleh Kartik Aaryan dan Sara Ali Khan.

Sementara itu, filem "Chhalaang" yang dibintangi oleh Rajkummar Rao dan Nushrat Bharucha juga menerima nasib yang sama apabila filem arahan Hansal Mehta itu yang sepatutnya ditayangkan pada 31 Januari 2020 terpaksa ditukar kepada 31 Mac 2020.

Dalam pada itu, sebuah lagi filem yang masih belum mempunyai judul yang dihasilkan oleh Anurag Basu juga berdepan nasib yang sama apabila filem yang dijadualkan ditayangkan pada 13 Mac kini ditukar ke 24 April.

Filem tersebut dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Aditya Roy Kapur, Abhishek Bachchan, Fatima Sana Shaikh, Rajkummar Rao, Sanya Malhotra dan ramai lagi.

(Sumber: Masala)

(Sumber foto: Mid-day)