Aktor yang pernah bergandingan dengan Kareena Kapoor dalam filem "Jab We Met", Tarun Arora, telah diangkat sebagai watak antagonis filem "Laxxmi Bomb".

Filem seram komedi itu dibintangi oleh Akshay Kumar yang akan membawa watak roh 'transgender' yang kembali untuk membalas dendam atas kematiannya.

Akshay akan berganding dengan Kiara Advani sebagai peneraju wanita utama dalam filem arahan Raghava Lawrence tersebut.

Penggambaran 'remake' filem "Muni 2: Kanchana" itu telah dijalankan di sebuah studio bandar bermula April lalu. Kini pihak produksi akan meneruskan jadual kedua bermula hujung bulan ini.

Sebelumnya, Tarun juga pernah bekerjasama dengan Chiranjeevi menerusi "Khaidi No. 150", Pawan Kalyan dalam "Katamarayudu" serta Ravi Teja dalam "Amar Akbar Anthony".

"Seperti filem asal, antagonis dalam filem versi Hindi juga adalah seorang MLA yang terjebak dalam rasuah dan Raghava yang pernah bekerjasama dengan Tarun dalam "Kanchana 3", percaya bahawa Tarun sesuai membawa watak itu.

"Watak barunya kali ini dilihat jauh berbeza dari watak dalam "Jab We Met". Proses produksi kini sedang dijalankan," jelas satu sumber terdekat.

Menurut laporan yang dipetik dari Mumbai Mirror, pembikin filem sedang mencari pelakon untuk membawa watak adik kepada Tarun.

Diterbitkan oleh Shabina Khan dan Tusshar Kapoor, filem "Laxxmi Bomb" bakal ditayangkan di pawagam pada 5 Jun 2020.

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)

(Sumber foto: Tarun Arora Instagram)