Penularan wabak COVID-19 telah menjejaskan industri perfileman Bollywood sehinggakan hampir semua syarikat produksi membuat keputusan untuk menunda tayangan filem mereka.

Terbaru, tayangan filem komedi gelap "Sandeep Aur Pinky Faraar" dibintangi oleh Parineeti Chopra dan Arjun Kapoor telah ditangguhkan ke suatu tarikh baru yang akan diumumkan kelak.

Menurut laporan India Today, perkara itu diumumkan selepas penutupan kebanyakan panggung wayang di India, termasuk di Delhi, Karnataka, Maharashtra, Odisha dan Kerala bagi membendung penularan wabak itu.

"Berikutan penularan Coronavirus (COVID-19) di negara ini, kami telah memutuskan untuk menunda tarikh rilis "Sandeep Aur Pinky Faraar" arahan Dibakar Banerhee.

"Kesihatan dan keselematan semua pihak merupakan keutamaan kami buat masa ini," tulis Parineeti dan Arjun menerusi laman Twitter.

Pada asalnya, pihak produksi ingin menayangkan filem itu di pawagam pada 20 Mac ini. Ia turut dibintangi oleh Pankaj Tripathi, Jaideep Ahlawat, Raghubir Yadav dan Neena Gupta.

Dalam perkembangan lain, Parineeti akan membintangi dua lagi filem terbaru iaitu 'remake' "The Girl on the Train" dan "Saina", sementara Arjun pula sedang terlibat dengan penggambaran filem "Chale Chalo".

(Sumber: India Today)
(Sumber foto: Parineeti Chopra Instagram)