Bintang filem aksi Tiger Shroff menimbulkan tanda tanya kepada para peminat apabila baru-baru ini dia mendedahkan sekeping foto 'teaser' kejutan yang bakal menanti mereka pada Julai ini.

Menerusi foto yang dikongsi menerusi Instagram itu, ia kelihatan seperti gambaran pertama sebuah projek filem baru di mana Tiger dilihat sedang menari dengan penampilannya yang ranggi.

"Sesuatu yang istimewa bakal tiba Julai ini" tulis aktor filem "Heropanti" itu ringkas menerusi ruangan kapsyen perkongsian tersebut.

Dropping something special this July ❤️

A post shared by Tiger Shroff (@tigerjackieshroff) on

Perkongsian itu bukan sahaja menarik perhatian para peminat, tetapi ia juga membangkitkan keterujaan rakan-rakan selebriti Bollywood termasuk Siddhant Chaturvedi, Eban Hyams, Sikandar Kher serta beberapa guru tari terkenal.

Beberapa bulan lalu, Tiger telah meriliskan sebuah lagu berjudul "I Am Disco Dancer 2.0" berserta video muziknya menerusi saluran YouTube yang menarik perhatian ramai sehingga mencecah lebih 100 juta tontonan.

Kali terakhir Tiger dilihat beraksi di layar perak adalah menerusi filem pecah panggung "Baaghi 3" arahan Ahmed Khan, di mana dia berkongsi skrin dengan Riteish Deshmukh dan Shraddha Kapoor.

(Sumber: Tiger Shroff Instagram)
(Sumber foto: Filmy Today)