Memandangkan pandemik COVID-19 semakin menjejaskan industri perfileman, aktres Tisca Chopra berpendapat filem-filem baru wajar dirilis secara dalam talian menerusi portal penstriman video.

"Kebanyakan naskhah akan terus dirilis di platform penstriman video. Ini merupakan waktu terbaik untuk syarikat portal penstriman video kerana ramai pelanggan menggunakannya. Saya rasa filem-filem kecil akan terus dirilis di platform tersebut.

"Kepada sesiapa yang tak berkemampuan, meminjam wang untuk membikin filem dan membayar faedah dari wang itu, sudah semestinya harus menyertakan filem mereka," katanya yang dipetik dari Times of India.

Tambah aktres itu lagi, dia berpendapat bahawa panggung-panggung wayang akan kurang menerima kehadiran pengunjung sekurang-kurangnya setahun selepas pandemik COVID-19 ini berlaku.

"Filem-filem besar yang menanti tarikh rilis selama enam bulan hingga setahun setengah mungkin akan dirilis tahun hadapan. Saya tak rasa orang ramai akan ke panggung wayang dalam waktu terdekat ini.

"Saya tak mahu meletakkan diri saya dalam situasi di mana saya dalam sebuah ruang tertutup bersama 500 orang yang mungkin membawa virus. Tiada siapa yang akan ke panggung sehingga kita menemui vaksin untuk virus ini," katanya.

Dalam perkembangan karier, kali terakhir Tisca dilihat berlakon adalah menerusi filem komedi "Good Newwz" yang turut dibintangi Akshay Kumar, Kareena Kapoor Khan, Diljit Dosanjh dan Kiara Advani.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Fun Roundup)