Buat para peminat filem-filem Hindi, anda patut tahu bahawa dahulunya industri perfileman Bollywood hanya mengutamakan aktor sahaja. Tahun berganti tahun dan industri kedua terbesar ini mula diwarnai dengan aktres-aktres berbakat yang menerajui filem-filem Hindi. Biarpun ada di antara mereka yang sudah berusia, namun kejelitaan jelas terpampang di wajah masing-masing.

Kebanyakan aktres yang terdapat dalam senarai ini sudah pun meninggalkan industri perfileman Bollywood atas sebab-sebab tersendiri. Namun ia tidak bermakna para peminat telah melupakan nama mereka! Oleh itu, mari kita lihat transformasi aktres-aktres Bollywood yang mencipta nama dalam industri pada era 90-an.

Sandali Sinha

Aktres dan model Sandali Sinha terkenal dengan watak Pia dalam filem romantik "Tum Bin", di mana dia digandingkan dengan tiga aktor iaitu Priyanshu Chatterjee, Himanshu Malik dan Raqeah Vashisth. Tetapi sebelum itu, bakatnya mula terserlah apabila dia membuat penampilan dalam video muzik lagu "Deewana". Termasuk "Tum Bin", Sandali hanya mempunyai lapan buah filem yang pernah dibintanginya.

Urvashi Sharma

Urvashi Sharma yang dulunya seorang model, membuat debut sebagai aktres dalam filem "Naqaab", di mana dia menerima Anugerah Aktres Debut Terbaik Filmfare. Namun dia hanya mempunyai enam buah filem dalam tangan, termasuk "Baabarr" dan "Chakradhaar". Biarpun tidak berjaya dalam industri perfileman Bollywood, namun namanya masih terpampang di halaman utama berita.

Kimi Katkar

Lagu "Jumma Chumma De De" dalam filem "Hum" sehingga kini kekal dalam ingatan para peminat, yang mana ia menggandingkan bekas aktres dan model Kimi Katkar bersama bintang veteran Amitabh Bachchan. Sepanjang bergelar aktres, Kimi sering digandingkan dengan aktor-aktor terkenal seperti Anil Kapoor, Govinda dan Jeetendra. Namun tiada siapa tahu mengapa dia mengehadkan penglibatannya dalam filem dan enggan menerima tawaran-tawaran baru. Filem terakhirnya adalah "Humlaa". Kimi akhirnya bersara dari dunia Bollywood selepas dia mengahwini jurugambar dan pembikin iklan Shantanu Sheorey pada 1992. Kini dia menetap di Melbourne, Australia.

Tanushree Dutta

Tanushree Dutta adalah seorang model sebelum dia melangkah masuk ke dunia Bollywood dan menjayakan filem-filem seperti "Aashiq Banaya Aapne", "Chocolate: Deep Dark Secrets" dan "Bhagam Bhag". Walau bagaimanapun, penampilannya dalam filem hanya sehingga 2010, dan meninggalkan dunia Bollywood selepas terpalit dengan konstroversi berkenaan gangguan seksual di set penggambaran filem "Horn 'Ok' Pleassss" pada 2009.

Mamta Kulkarni

Pernah membintangi filem-filem Bollywood terkenal seperti "Aashiq Awara", "Krantiveer", "Karan Arjun", tahun 90-an merupakan tahun kemuncak buat karier bekas aktres dan model, Mamta Kulkarni, sebelum dia menarik diri dari dunia Bollywood pada 2002. Mamta pernah terpalit dengan kontroversi apabila dia dan suaminya Vikram Goswami ituduh terlibat dalam pengedaran dadah kepada seorang gengster di Kenya pada 2016.

Meenakshi Seshadri

Meenakshi Seshadri merupakan seorang bekas aktres, model dan penari yang mencipta sejarah hidupnya apabila menjuarai pertandingan Miss India Eve's Weekly 1981 ketika dia baru berusia 17 tahun. Meenakshi membuat debut dalam industri Bollywood menerusi filem "Painter Babu", dan seterusnya membintangi filem-filem seperti "Hero", "Awaargi" dan "Damini". Kejayaan filem "Damini" juga menjadi faktor dia digelar Damini sehingga ke hari ini. Selepas bersara dari bidang lakonan, Meenakshi kini menetap di Amerika Syarikat bersama keluarganya. Pada 2006, sebuah dokumentari muzikal berkenaan perjalanan hidupnya telah dihasilkan oleh pengarah Margret Stephens, yang diberi judul "Meenakshi Accept Her Wings".

Anu Aggarwal

Bekas aktres dan model Anu Aggarwal pernah mencuri hati ramai peminat dengan filem Bollywood debutnya "Aashiqui", di mana dia digandingkan dengan aktor Rahul Roy. Walau bagaimanapun, ketika namanya sedang meningkat naik, tragedi hitam berlaku apabila Anu ditimpa kemalangan ngeri pada 1999, mengakibatkan dia koma selama hampir sebulan dan tidak ingat pada kehidupan sebelumnya. Susulan itu, Anu menjalani rawatan di Hospital Breach Candy dan akhirnya bersara dari dunia Bollywood. Pada 2015, Anu telah menerbitkan sebuah memoir berjudul "Anusual: Memoir of a Girl Who Came Back from the Dead".