Susulan protes Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) yang berlaku baru-baru ini, negara India sekali lagi digemparkan dengan serangan keganasan terhadap pelajar Universiti Jawalharlu Nehru (JNU) pada Ahad lalu.

Seperti yang dilaporkan oleh Times of India, aktor Varun Dhawan turut serta menentang keganasan yang berlaku di universiti berprestij tersebut sebagaimana dilakukan oleh beberapa selebriti Bollywood lain.

"Saya rasa kita tidak boleh bersikap neutral dalam isu ini. Anda perlu menentang dan mengecam serangan sebegitu. Kumpulan bertopeng menyerang institut pendidikan adalah sesuatu yang bahaya dan menyedihkan.

"Saya tidak akan masuk campur dengan apa yang orang lain bincangkan mengenai isu ini dalam Twitter. Sejak tiga hari lalu saya hanya mempromosikan filem saya dan tidak membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka

"Saya tidak tahu siapa dalang di sebalik kejadian ini tetapi pihak polis akan menjalankan siasatan. Sebagai seorang warga India, saya meletakkan harapan kepada pihak polis dan kehakiman" katanya.

Pelakon filem "Kalank" itu turut berharap agar pihak yang bertanggungjawab atas serangan tersebut akan dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Dalam perkembangan baru, Varun sedang sibuk mempromosikan filem "Street Dancer 3D" arahan Remo D'Souza yang akan ditayangkan pada 24 Januari ini.

Selain itu, Varun juga akan membintangi filem arahan David Dhawan berjudul "Coolie No. 1" bersama aktres Sara Ali Khan. Ia akan dirilis pada 1 Mei 2020.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Varun Dhawan Instagram)
(Sumber artikel: Times of India)