Selepas menyalurkan bantuan kepada dana bantuan kerajaan, kini aktor Varun Dhawan meneruskan kerja amalnya dengan menyalurkan bekalan makanan kepada para doktor dan paramedik yang bekerja ketika Perintah Berkurung.

Menurut Varun, ia merupakan tanda penghargaan kepada para barisan hadapan yang berkorban tenaga dan masa untuk membendung wabak COVID-19 serta golongan yang memerlukan.

"Sepanjang berkurung di rumah, saya sentiasa mengingati seluruh golongan yang tiada tempat tinggal ketika krisis ini berlaku.

"Jadi minggu ini saya akan menyediakan bekalan makanan kepada golongan kurang berkemampuan yang tiada tempat tinggal atau pekerjaan.

"Saya juga mengagumi usaha semua yang bergadai nyawa dan bekerja sebagai barisan hadapan. Saya akan menyediakan bekalan makanan kepada para doktor dan paramedik di hospital.

"Semua bekalan makanan disediakan oleh badan pertubuhan Taj Public Service Welfare Trust. Ia satu langkah kecil tetapi pada krisis sebegini, segala usaha kita diambil kira. Saya akan terus melakukan apa yang termampu," tulisnya dalam satu kenyataan di Instagram.

Dalam perkembangan lain, Varun bakal menghiburkan peminat dengan persembahan tarian menerusi rancangan realiti Entertainer No. 1 Home Edition secara ekslusif menerusi aplikasi Flipkart bermula 13 April ini.

(Sumber: Varun Dhawan Instagram)
(Sumber foto: Varun Dhawan Instagram)