Pada April lalu, aktor Vicky Kaushal dilaporkan bakal membintangi sebuah projek filem aksi adiwira bajet besar berjudul "The Immortal Ashwatthama" arahan Aditya Dhar.

Sehubungan dengan itu, Vicky dan Aditya akan berkolaborasi semula dengan penerbit Ronnie Screwvala di mana trio tersebut pernah menjayakan filem "Uri: The Surgical Strike" yang ditayangkan pada awal tahun ini.

Menurut laporan dari India.com, Vicky akan terlibat dengan jadual penggambaran filem itu pada pertengahan tahun 2020 di Greenland, Tokyo, New Zealand dan Namibia.

"Persiapan awal telah dimulakan pada dua bulan lalu sementara persiapan formal pula akan bermula dalam dua minggu lagi. Kami akan menjalankan penggambaran filem itu sepenuhnya secara berterusan di Greenland, Tokyo, New Zealand dan Namibia.

"Saya akan bekerjasama dengan kumpulan produksi dari serata dunia bagi menjayakan filem aksi ini. Keseluruhan pos produksi, termasuk kesan visual (VFX), akan dilakukan di Amerika Syarikat," ujar Aditya.

Seperti yang diberitahu Aditya, dia telah mendedahkan jalan cerita filem itu pada Vicky dan Ronnie dua hari sebelum tayangan filem "Uri: The Surgical Strike" dan mereka terus bersetuju untuk meneruskan pembikinan filem.

"Ashwatthama adalah salah seorang watak yang paling kuat dan bermisteri dari Mahabhrata. Dia merupakan anak kepada Drona yang bersikap sombong dan ego tinggi kerana dia tidak boleh dimusnahkan. Dia tak sempurna tapi itulah yang saya suka tentangnya," tambah pengarah itu lagi.

Dalam pada itu, Vicky akan membintangi dua buah lagi filem baru berjudul "Sardar Udham Singh" arahan Shoojit Sircar dan filem "Takht" yang turut menampilkan Ranveer Singh, Janhvi Kapoor, Kareena Kapoor, Alia Bhatt, Bhumi Pednekar dan Anil Kapoor.

(Sumber foto: India Times)

(Sumber artikel: India.com)