Selepas dikenali sebagai salah satu bintang wanita terkenal Bollywood, aktres versatil Vidya Balan meneruskan lagi kariernya dengan membintangi sebuah filem pendek.

Pada Selasa, Vidya telah mengumumkan perkara itu menerusi status yang dimuat naik di laman sosial mengatakan dia bakal menerajui filem pendek berjudul "Natkhat" itu.

Bukan itu sahaja, Vidya juga akan bertindak sebagai penerbit bersama Ronnie Screwvala dalam projek tersebut.

"Saya sangat gembira dan teruja dapat membintangi filem pendek pertama saya sebagai pelakon. Filem itu berjudul "Natkhat" dan saya berpeluang menjadi penerbit.

"Saya tidak pernah merancang untuk menjadi seorang penerbit sebelum ini tetapi cerita ini membawa saya ke jalan ini," ujarnya menerusi laporan dari Times of India.

Tambahnya lagi, ia merupakan satu pengalaman yang amat berharga untuknya kerana berpeluang berkolaborasi dengan Ronnie dan seluruh kumpulan produksi bagi menghidupkan cerita tersebut.

Dalam perkembangan baru, Vidya akan membuat penampilan dalam filem angkasa "Mission Mangal" yang dibintangi oleh Akshay Kumar, Taapsee Pannu, Sonakshi Sinha, Kirti Kulhari, Sharman Joshi dan Nithya Menon.

Filem yang diangkat dari kisah benar arahan Jagan Shakti itu akan ditayangkan di pawagam pada 15 Ogos depan.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber artikel: Times of India)
(Sumber foto: Vidya Balan Instagram)