Bintang filem aksi "Commando" Vidyul Jammwal mendedahkan dia datang daripada latar belakang keluarga tentera dan ingin menjadi inspirasi buat orang ramai untuk turut menyertai angkatan tentera.

"Kebanyakan saudara mara saya kini berkhidmat dalam Angkatan Tentera India. Pakcik saya terkorban dalam perang 1971 sementara sepupu saya terkorban dalam Perang Kargil.

"Ia adalah sebuah penghormatan bagi saya untuk menjadi seorang komando di layar perak. Dengan ini, saya ingin boleh menjadi inspirasi buat ramai orang untuk menyertai Angkatan Tentera India.

"Saya juga telah melawat kem-kem tentera dan ia adalah satu pengalaman berharga buat saya, terutamanya ketika melawat kem di Seven Sisters kerana ramai yang mengenali latar belakang saya," ujar Jammwal yang dipetik dari Times of India.

Tambah aktor yang berusia 38 tahun itu lagi, dia turut menyimpan impian untuk menyertai angkatan tentera sebelum beralih minat terhadap seni bela diri sehingga kini.

Terbaru, Jammwal akan membintangi filem "Commando 3" yang diarahkan oleh Adittya Datt. Buat pengetahuan, aktor itu telah bekerja dengan tiga pengarah berbeza bagi ketiga-tiga filem dalam francais tersebut.

Walau bagaimanapun, dia memberitahu perkara itu tidak menjadi masalah kerana berpendapat setiap pengarah mempunyai visi, semangat dan idea kreatif yang berbeza.

"Commando 3" turut menampilkan aktor lain seperti Adah Sharma, Gulshan Devaiah dan Angira Dhar. Diterbitkan oleh Vipul Amrutlal Shah, ia bakal ditayangkan di pawagam bermula 29 November ini.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Vidyut Jammwal Instagram)
(Sumber artikel: Times of India)