Bintang filem Tamil, Vijay Sethupathi dilaporkan telah menarik diri dari filem biopik mengenai atlet kriket Sri Lanka, Muttiah Muralitharan, "800" selepas menerima surat daripada atlet itu.

Memetik laporan Deccan Chronicle, ia susulan kontroversi Muttiah Muralitharan yang dipercayai menyokong kerajaan Sri Lanka ketika berlakunya perang saudara dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Biarpun Muttiah cuba menjelaskan isu berkenaan dan menegaskan dia tidak pernah memandang rendah kumpulan itu, namun orang ramai percaya bahawa dia menyokong presiden Gotabaya Rajapaksa, yang pernah bertindak sebagai setiausaha pertahanan perang tersebut.

Atas desakan orang ramai dan tekanan yang dihadapi, Muttiah akhirnya mengeluarkan surat menerusi laman Twitter miliknya dan meminta Vijay untuk menarik diri dari filem "800".

"Saya tidak suka melihat bintang hebat dari Tamil Nadu terkesan dengan isu ini kerana saya. Dengan ini, saya meminta dia untuk menarik diri supaya dia tidak berdepan cabaran yang tidak munasabah dalam kariernya pada masa akan datang," tulisnya.

Sehubungan dengan itu, Vijay yang asalnya menggalas watak utama, hanya membalas kenyataan Muttiah dengan ucapan terima kasih, sekaligus mengesahkan persetujuannya untuk menarik diri dari filem tersebut.

Terdahulu, Muttiah tidak menolak apabila pihak produksi ingin menghasilkan sebuah filem biopik tentang dirinya memandangkan ia akan memberi semangat kepada generasi akan datang, terutamanya atlet kriket.

Pihak penerbit dari Dar Motion Pictures menjelaskan filem "800" hanya memberi fokus kepada biopik sukan semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan politik.

Walaupun kini kehilangan satu projek, namun Vijay masih berbaki banyak lagi projek filem lain yang masih dalam proses penggambaran dan pos-produksi, termasuk "Maamanithan", "Laabam" dan filem Hindi lakonan Aamir Khan, "Laal Singh Chaddha".

(Sumber: Deccan Chronicle)
(Sumber foto: DNA India)