Kapten Pasukan Kriket Nasional India Virat Kohli meluahkan hasratnya untuk membintangi sebuah filem biopik mengenai kehidupannya sebagai atlet sukan bersama isteri dan aktres Anushka Sharma.

Perkara itu telah didedahkan ketika Virat mengadakan sesi bual bicara dan soal jawab bersama pemain bola sepak profesional India Sunil Chhetri secara langsung di laman Instagram baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, atlet itu mengakui dia tidak mempunyai bakat lakonan yang baik seperti isterinya yang kini turut bergelar penerbit filem.

"Saya ingin lihat diri saya sendiri dalam biopik! Saya tak rasa sesiapa pun mampu melakonkan watak saya selain diri saya sendiri. Saya juga ingin Anushka untuk turut berlakon sebagai dirinya sendiri.

"Saya ingin memperbetulkan salah anggap yang mengatakan saya boleh berlakon. Contohnya, saya boleh bermain bola, tetapi ia tak bermaksud saya boleh bermain dalam Liga Super India.

"Situasinya sama juga, saya boleh berhadapan dengan kamera tetapi ia tak boleh dianggap sebagai berlakon," ujarnya yang dipetik dari Times of India.

Dalam pada itu, Virat turut memberi penghargaan kepada Anushka kerana hadir dan hidupnya dan mengubah peribadi seperti yang dilihat sekarang.

Terdahulu, terdapat media yang mencadangkan beberapa aktor yang sesuai untuk menjayakan watak Virat Kohli jika filem biopik tentangnya direalisasikan.

Antara nama-nama aktor yang tersenarai ialah Ranveer Singh, Shahid Kapoor, Varun Dhawan, Abhay Deol dan Rajkummar Rao.

Untuk rekod, Virat pernah membintangi sebuah filem pendek berjudul "Trailer" yang dihasilkan khas bagi tujuan mempromosikan jenama pakaiannya Wrogn pada 2018.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Bollywood Life)