Kesilapan memuat naik peta India yang salah menerusi laman sosial ketika berlakunya protes Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) di India pada Disember lalu mengundang kemarahan orang ramai terhadap aktor Farhan Akhtar.

Menurut laporan dari The New Indian Express, biarpun telah memohon maaf secara terbuka, namun segelintir pihak di laman Twitter menggesa orang ramai untuk memboikot filem terbaru aktor tersebut, "Toofan".

Baru-baru ini, Farhan telah memuat naik foto penampilan pertamanya dalam filem itu dan ada pihak yang berpendapat dia sekadar ingin mencari publisiti ketika protes berlaku untuk mempromosikan filemnya.

"Saya meminta orang ramai untuk sama-sama memboikot "Toofan". Kami tidak mahu menonton filem-filem orang sepertinya, yang tidak berpihak kepada Perlembagaan negara kita," tulis seorang pengguna Twitter.

"Filem Farhan Akhtar "Toofan" akan dirilis tidak lama lagi. Tolong ingat semula apa yang dia telah lakukan kepada negara kita sebelum menonton filem ini. Jangan bazirkan duit anda untuk orang yang menimbulkan salah faham mengenai CAA," tambah seorang pengguna.

Sementara itu, seorang lagi pengguna berkata dia tidak mahu menonton filem orang yang tidak berpendidikan dan tidak tahu-menahu mengenai isu CAA, serta menganggap Farhan seorang yang hipokrit.

"Toofan" merupakan sebuah filem sukan arahan Rakeysh Omprakash Mehra yang menampilkan Farhan sebagai seorang peninju. Filem itu turut dibintangi oleh Paresh Awal, Isha Talwar, Mrunal Thakur dan Rishi Kapoor.

"Toofan" akan menemui penonton di pawagam bermula 2 Oktober 2020.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Farhan Akhtar Instagram)
(Sumber artikel: The New Indian Express)