Aktres Zaira Wasim membuat permintaan daripada kru produksi "The Sky Is Pink" untuk tidak menyertai sebarang majlis promosi filem tersebut.

"Memandangkan filem itu akan ditayangkan pada 11 Oktober, pembikin filem bercadang untuk mula mempromosikan filem pada hujung bulan Ogos.

"Jika dilihat pada status Facebook yang dimuat naik pada Ahad lalu, ia terbukti Zaira ingin berhenti berlakon dalam filem," jelas satu sumber terdekat menerusi laporan dari Mid-Day.

Tambah sumber itu lagi, mengikut keputusan yang dibuat, Zaira telah meminta diri dari menyertai apa-apa aktiviti promosi filem berkenaan.

Walaupun dia telah bersikap profesional sepanjang penggambaran dijalankan, kini dia benar-benar menegaskan untuk tidak terlibat dengan mana-mana filem.

Pada mulanya seluruh kru produksi filem terkejut dengan keputusan Zaira namun mereka akur dan memberi ruang kepada aktres berusia 18 tahun tersebut.

Zaira mengejutkan dunia Bollywood baru-baru ini selepas mengumumkan ingin keluar dari bidang itu kerana merasakan dirinya semakin jauh dengan agama Islam.

Zaira telah menyuarakan luahannya menerusi entri yang dimuat naik di laman sosial miliknya dan menyatakan bahawa dia tidak berasa gembira dengan identiti yang dibawanya.

Filem "The Sky Is Pink" menampilkan watak Zaira sebagai seorang pakar motivasi dan penulis Aisha Chaudhury berdasarkan kisah benar.

Aisha Chaudhury adalah seorang gadis dari Gurugam yang meninggal dunia pada usia 16 tahun kerana menghidap fibrosis pulmonari, menyebabkan paru-parunya mengeras.

Selain Zaira, filem itu turut dibintangi oleh Priyanka Chopra Jonas dan Farhan Akhtar serta diarahkan oleh Shonali Bose.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

Sumber artikel: Mid-Day
Sumber foto: Zaira Wasim Instagram