Penerbit dan pengarah filem biopik jenayah "Gangubai Kathiawadi" iaitu Sanjay Leela Bhansali telah memilih aktor Ajay Devgn dan Emraan Hashmi untuk menyertai Alia Bhatt dalam filem tersebut.

"Emraan telah pun terlibat dengan penggambaran awal babaknya bersama Alia awal tahun ini, sementara Ajay dijangka akan sertai Alia dan kumpulan produksi sebaik sahaja penggambaran disambung.

"Ajay membawa watak seorang gengster bernama Karim Lala, sementara watak Emraan belum didedahkan. Setiap watak mempunyai gaya mereka tersendiri dan Bhansali berpendapat kedua-dua aktor ini sesuai untuk menggalasnya.

"Kedua-dua watak ialah cameo tetapi memainkan peranan penting dalam jalan cerita filem. Pengembaraan Gangubai tak akan lengkap tanpa orang-orang di sekelilingnya.

"Apa yang akan ditampilkan oleh Ajay dan Emraan memainkan peranan penting untuk membentuk personalitinya dalam dunia gelap Mumbai," dedah satu sumber yang dipetik dari Bollywood Hungama.

Sehubungan dengan itu, ia juga menandakan gandingan semula Ajay dan Emraan selepas sedekad menjayakan filem gengster "Once Upon a Time in Mumbaai" terbitan Ekta Kapoor.

Difahamkan kumpulan produksi bercadang untuk menyambung sesi penggambaran seawal mungkin sebaik sahaja tempoh Perintah Berkurung ditamatkan di India.

Bertemakan kehidupan 'ibu ayam' di Kamathipura, "Gangubai Kathiawadi" telah dijadualkan untuk rilis pada 11 September 2020.

(Sumber: Bollywood Hungama)
(Sumber foto: Masala!)