Tidak dapat dinafikan bahawa hubungan antara dua bintang terkenal Bollywood Shah Rukh Khan dan Amitabh Bachchan sememangnya akrab memandangkan mereka telah beberapa kali berkongsi skrin.

Menurut laporan dari Pinkvilla, pernah sekali anak kecil Shah Rukh Khan, iaitu AbRam, tersalah anggap bahawa Bachchan adalah datuk sendiri sewaktu menghadiri majlis hari jadi Aardhya Bachchan pada 2018.

Sehubungan dengan itu, Bachchan sempat merakamkan pertemuan mereka menerusi sekeping foto yang dimuat naik di Instagram, dan isteri Shah Rukh Khan, Gauri, tidak dapat menahan untuk berkongsikan semula foto itu kerana kecomelan mereka.

"Ini adalah AbRam, anak kecil Shah Rukh yang menganggap, dan percaya tanpa sebarang keraguan, yang saya adalah bapa kepada bapanya, dan mempersoalkan kenapa datuknya ini tidak tinggal bersamanya!!!" tulis Bachchan.

Menerusi foto itu, AbRam dilihat sedang bersalaman dengan Bachchan dan menunjukkan ekspresi wajah comelnya yang sedikit terkejut melihat bintang veteran tersebut.

"Silalah luangkan masa bersama AbRam di rumah sekurang-kurang pada hari-hari Sabtu. Dia mempunyai permainan-permainan video yang sangat menarik dalam iPadnya. Encik boleh 'doodle' bersamanya!" balas Shah Rukh Khan.

Dalam perkembangan lain, Bachchan bakal kembali dengan filem-filem barunya iaitu "Brahmastra" dan "Chehre", sementara Shah Rukh Khan pula akan membuat penampilan cameo dalam filem "Brahmastra".

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Mid-Day & Pinkvilla)