Aktres dan model Erica Fernandes memberitahu dia masih belum bersedia untuk kembali menyambung penggambaran yang tertunda akibat pandemik COVID-19 biarpun kerajaan telah membenarkannya.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Maharashtra Uddhav Thackeray memaklumkan industri filem dan televisyen dibenarkan menyambung sesi penggambaran dengan syarat mengikut garis panduan yang ditetapkan.

"Ia bukannya soalan mudah dengan jawapan ya ataupun tidak. Ramai orang yang sudah lama tidak bekerja. Sesetengah daripada mereka tidak mempunyai nikmat dalam membuat pilihan jika mereka patut kembali bekerja atau tidak.

"Akan tetapi, jika anda bertanya kepada saya, saya masih belum bersedia, sekurang-kurangnya bukan dalam masa terdekat, mungkin mengambil tempoh lebih sedikit dan ini adalah atas beberapa sebab.

"Pertama sekali, kami dalam fasa untuk keluar dari tempoh Perintah Berkurung. Ada risiko untuk peningkatan graf kes ini. Yang kedua, musim tengkujuh juga bakal tiba di mana ramai akan jatuh sakit kerana perubahan cuaca," jelasnya yang dipetik dari Bollywood Life.

Tambah aktres yang terkenal dengan siri televisyen "Kasautii Zindagii Kay" itu, simptom-simptom selsema atau denggi dan malaria, yang biasa menjangkiti orang ramai pada musim tengkujuh, sama seperti virus COVID-19.

Selain itu, dia juga bimbang akan risiko kesihatan para pelakon kerana hanya kru produksi yang perlu memakai topeng muka dan sarung tangan ketika berada di set penggambaran.

Seperti yang dilihat menerusi Instagram, Erica memenuhi tempoh kuarantinnya di rumah dengan aktiviti-aktiviti seperti memasak, melukis dan melakukan senaman yoga.

Kali terakhir Erica dilihat berlakon di layar perak adalah pada tiga tahun lalu menerusi filem Tamil "Vizhithiru" dan filem Hindi "Babloo Happy Hai" pada 2014.

(Sumber: Bollywood Life)
(Sumber foto: Erica Fernandes Instagram)