Pembikin filem aksi fantasi trilogi "Brahmastra" lakonan Ranbir Kapoor dan Alia Bhatt menamatkan penantian para peminat apabila dilaporkan bakal mendedahkan gambaran pertama filem pada Ogos ini.

"Ia sebuah filem berskala tinggi dan mereka sedang merancang sebuah kempen yang berpanjangan berserta siri video sehingga tibanya tarikh rilis, seperti mana dilakukan di Barat.

"Gambaran pertama dijangka akan dirilis pada Ogos ini, sebaik sahaja semua visualnya telah dikemaskini," dedah satu sumber menerusi laporan Mumbai Mirror.

Difahamkan pengarah Ayan Mukerji dan kumpulan produksi tidak duduk diam sepanjang tempoh Perintah Berkurung, sebaliknya sibuk menjalankan proses pos-produksi dengan kerjasama beberapa unit dari serata dunia.

Sehubungan dengan itu, Ayan juga sedang mengemaskini lakon layar dan dialog bagi Bahagian Kedua, yang dijangka mula produksinya sebaik sahaja "Brahmastra: Part One of Three" ditayangkan.

"Memandangkan ia sebuah trilogi yang berkesinambungan, Ayan tidak mahu jarak antara Bahagian Pertama dan Kedua terlalu jauh, serta telah menyiapkan rangka tindakan bagi ketiga-tiga bahagian.

"Bahagian Pertama dan Kedua tidak mengambil tempoh lama untuk disiapkan dan kumpulan produksi telah menyediakan asas kesan visual," tambah sumber itu lagi.

Buat pengetahuan lanjut, produksi filem terbitan Karan Johar itu sudah bermula sejak Februari 2018, di mana ia difilemkan di beberapa lokasi serata dunia termasuk Bulgaria, London, New York, Scotland dan Mumbai.

Pada asalnya, tarikh rilis filem itu adalah pada 4 Disember 2020, namun pandemik COVID-19 memaksa kumpulan produksi untuk menunda filem mereka ke 2021 seperti mana filem-filem besar yang lain.

Selain Ranbir dan Alia, filem itu turut dibintangi aktor-aktor terkenal Bollywood seperti Amitabh Bachchan, Mouni Roy, Dimple Kapadia, Akkineni Nagarjuna, Rashi Mal serta penampilan istimewa Shah Rukh Khan.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Pinkvilla)