Biarpun sudah lebih sebulan aktor Irrfan Khan pergi buat selamanya namun memori isteri Sutapa Sikdar dan anak sulung Babil Khan terhadapnya masih segar dalam ingatan.

Seperti yang dilaporkan oleh Bollywood Life, baru-baru ini kedua-dua anak beranak itu telah berkongsikan foto-foto lama Irrfan menerusi laman Instagram susulan musim tengkujuh mula melanda bandar Mumbai.

Difahamkan Irrfan mempunyai suatu minat terhadap musim hujan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan perkara itu telah disahkan oleh Babil dalam kapsyen fotonya.

"Dia mempunyai satu pemahaman aneh terhadap hujan. Saya tak dapat nak bandingkan ia kepada mana-mana pengalaman saya.

"Dia hanya boleh menjelaskannya kepada saya menerusi perkataan, tetapi ada satu hubungan yang tak mampu saya selubungi walaupun dalam bahasa yang indah; hanya padang pasir akan tunjukkan apa yang hujan lakukan terhadapnya," tulis Babil.

He had this strange understanding of rain. I cannot compare it to anything that I have ever experienced. He could only explain it to me through the limits within what words would let him, but there was a connection that I cannot envelop even in the most beautiful language; only the desert could show, oh my god, what the rain did to him.

A post shared by Babil Khan (@babil.i.k) on

Perkongsian mereka telah menarik perhatian para peminat yang turut sama memperingati aktor itu dan memberi kata-kata semangat buat Babil menerusi ruangan komen di entri tersebut.

"Dengan setiap titisan air hujan, kami dapat rasa kehadirannya Babil. Dia ada di sekeliling kita, kehadirannya dapat dirasai melalui hujan," tulis salah seorang peminat.

Untuk rekod, Irrfan telah disahkan meninggal dunia pada 29 April lalu selepas menderita penyakit yang jarang berlaku iaitu ketumbuhan neuroendokrin dan jangkitan pada usus.

(Sumber: Bollywood Life, Babil Khan Instagram)
(Sumber foto: Pinterest Anusha Srinivasan Iyer)