Aktres filem Hollywood terkenal Naomi Scott mendedahkan bahawa dia pernah disalah anggap sebagai bintang Bollywood Deepika Padukone oleh seorang kru di set penggambaran filemnya.

Menurut laporan Times of India, pada ketika itu Naomi sedang memainkan video muzik lagu "Nagada Sang Dhol" yang dipersembahkan oleh Deepika dalam filem "Goliyon Ki Raasleela Ram-Leela" (2013).

Susulan itu, kru berkenaan bertanya kepada Naomi jika wanita dalam video muzik itu adalah dirinya dan Naomi bergurau dan menjawab ya, yang mana kru itu kemudian mempercayainya.

"Saya terfikir pada ketika itu, "Awak mungkin akan dibandingkan dengan orang yang lebih teruk daripada Deepika, jadi terima sahaja kerana Deepika sangat jelita"," ujar aktres filem "Aladdin" itu.

Buat pengetahuan lanjut, Naomi juga mempunyai darah kacukan India-Inggeris, yang mana ibunya, Usha Scott berasal dari Gujarati, India, sementara bapanya, Christopher Scott, dari Britain.

Berbalik kepada Deepika, isteri kepada aktor Ranveer Singh itu mula menapak dalam industri filem Hollywood pada 2017 di mana dia membintangi filem "xXx: Return of Xander Cage" di samping Vin Diesel.

Dalam perkembangan lain, Deepika akan kembali ke layar perak bersama Ranveer menerusi filem sukan kriket "'83" arahan Kabir Khan. Tarikh tayangannya yang baru bakal diumumkan kelak.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Listal & Pinkvilla)