Siri televisyen thriller fantasi terkenal "Naagin" musim keempat bakal bermula tidak lama lagi dan nampaknya peneraju utama iaitu aktres Nia Sharma akan terus dikekalkan dalam siri tersebut.

Ia susulan laporan terbaru yang mengatakan watak Nia iaitu Brinda Dev Parikh akan menamatkan dua watak sampingan yang dilakonkan oleh aktres Rashami Desai dan Anita Hasssanandani.

"Nampaknya, watak Nia iaitu Brinda akan membunuh Vishaka (Anita Hasssanandani) dan Shalaka (Rashami Desai). Dev (Vijayendra Kumeria) juga akan terbunuh.

"Kemudian, Brinda juga akan terbunuh dan misteri 'laal tekdi' akan terungkai akhirnya. Para pembikin sedang memikirkan bagaimana untuk memulakan musim kelima dan masih sedang menghasilkan jalan ceritanya," dedah satu sumber dari Zoom TV Entertainment.

Dalam pada itu, laporan turut menyatakan bahawa peserta program realiti "Bigg Boss 13", Paras Chhabra, dan aktor filem "Beyhadh 2" Shivin Narang telah ditawarkan untuk membintangi "Naagin" musim kelima.

Sehubungan dengan itu, para pembikin merancang untuk memulakan sesi penggambaran pada 15 Jun ini, di mana ia akan dilangsungkan selama 10 hari.

Walau bagaimanapun, buat masa ini para pembikin termasuk penerbit Ekta Kapoor masih belum tampil untuk mengesahkan mana-mana butiran tersebut.

(Sumber: Zoom TV Entertainment)
(Sumber foto: Nia Sharma Instagram)