Semua sedia tahu bahawa industri perfileman Bollywood (Hindi) terkenal dengan filem-filem pecah panggung, tetapi filem-filem yang dihasilkan dalam industri perfileman India Selatan yang terdiri daripada Kollywood (Tamil), Tollywood (Telugu), Mollywood (Malayalam) dan Sandalwood (Kannada) tidak kurang hebatnya. Filem India Selatan yang sehingga kini mencetuskan sensasi adalah "Baahubali" arahan S. S. Rajamouli. Saban tahun, pembikin filem India Selatan berjaya mencipta nama di persada Bollywood dengan karya-karya filem pecah panggung mereka. Berikut adalah senarai pembikin filem India Selatan yang terkenal di Bollywood.


Ram Gopal Varma adalah pengarah, penerbit dan penulis skrip yang terkenal dalam industri perfileman Tollywood dan Bollywood. Varma dianggap sebagai pelopor filem India dan menerima gelaran "Bombay's Most Successful Maverick" atas karya-karya filem eksperimentalnya. Antara filem Bollywoodnya yang terkenal ialah "Raat", "Rangeela", "Satya", "Sarkar" dan "Bhoot".

Boleh dikatakan ramai penerbit yang mengimpikan untuk bekerjasama dengan pengarah hebat S. S. Rajamouli yang banyak menghasilkan filem-filem aksi dalam industri perfileman Tollywood. Karya filemnya yang paling terkenal ialah siri filem "Baahubali" yang ditayangkan dalam bahasa Tamil dan Telugu. Atas kejayaan filem-filem itu, ia turut dihasilkan semula dalam versi Malayalam dan Hindi.

Memegang kerjaya sebagai guru tarian, pengarah, penerbit dan pelakon, Prabhu Deva mempunyai pelbagai pengalaman bekerja dalam industri perfileman Kannada, Tamil, Telugu dan Hindi. Filem Bollywood arahannya yang berjaya meraih perhatian ramai ialah "Wanted", "Rowdy Rathore", "Dabangg 3" dan yang bakal dirilis iaitu "Radhe: Your Most Wanted Bhai" lakonan Salman Khan.

Jika bercakap tentang filem-filem bertemakan sains fiksyen, maka S. Shankar adalah pakarnya! Biarpun kerjanya sebagai pengarah, penerbit dan penulis skrip lebih kepada industri filem Tamil, namun S. Shankar juga berjaya mencipta nama di persada Bollywood dengan filem-filemnya seperti "Ehtiran", "I", "2.0" dan "Robot".

Filem-filem yang dihasilkan oleh Mani Ratnam mempunyai keistimewaannya tersendiri, maka tidak hairanlah jika dia dianggap sebagai salah seorang pembikin filem paling hebat di India. Majoriti filemnya adalah berbahasa Tamil, namun Mani juga pernah membikin filem-filem Hindi klasik seperti "Dil Se..", "Bombay", "Guru", "Raavan" dan "Ok Jaanu".

Jika seseorang ingin melabur bajet besar untuk membikin filem, maka kepercayaan boleh diletakkan kepada AR Murugadoss untuk merealisasikannya. Keistimewaan pengarah dan penerbit ini adalah dia tahu bagaimana untuk membikin filem berkualiti yang padat dengan aksi dan thriller. Filem Hindi arahannya yang masih menjadi bualan ramai sehingga kini adalah "Ghajini" lakonan Aamir Khan.

Pengarah yang membuat debut di bangku pengarah menerusi filem kontroversi "Arjun Reddy" adalah Sandeep Reddy Vanga. Apabila ia berjaya meraih kutipan memberangsangkan di pawagam, Sandeep membuat keputusan untuk mengarah filem itu versi Hindi yang diberi judul "Kabir Singh". Ia juga menandakan debut Sandeep dalam industri perfileman Bollywood.

Pembikin filem Malayalam, Priyadarshan, telah mewarnai industri perfileman Hindi dengan filem-filem klasik dan komedi terkenal seperti "Heri Pheri", "Hungama", "Hulchul", "Garam Masala", "Chup Chup Ke", "Dhol" dan "Bhool Bhulaiyaa". Buat pengetahuan semua, Priyadarshan adalah pengarah pertama di India yang memperkenalkan gred warna cerah, bunyi jelas dan alih suara berkualiti menerusi filem-filemnya.