Spekulasi hubungan cinta selebriti Bollywood Sidharth Malhotra dan Kiara Advani bagaikan tiada titik noktah apabila baru-baru ini seorang peminat meminta Sidharth untuk menghuraikan Kiara dalam satu perkataan.

Permintaan itu telah disampaikan ketika Sidharth mengadakan sesi soal jawab di laman Instagram untuk berinteraksi bersama para peminatnya dengan lebih rapat.

Menurut laporan dari Times of India, aktor filem "Ek Villain" itu hanya menjawabnya dengan ringkas iaitu "Shershaah", filem terbaru yang menggandingkan kedua-dua pelakon itu di layar perak tidak lama lagi.

Beberapa bulan lalu, Sidharth turut menyertai sesi bual bicara Instagram Live yang diadakan oleh Kiara dengan meninggalkan komen berupa terima kasih kepada aktres itu kerana mengadakan sesi tersebut.

"Terima kasih Sidharth Malhotra, saya harap awak telah menonton keseluruhan sesi bual bicara ini," ujar Kiara menerusi video berkenaan.

Berbalik kepada filem "Shershaah", ia merupakan sebuah filem biopik perang arahan debut Vishnuvardhan, yang turut dijayakan oleh Karan Johar sebagai salah seorang penerbit.

Menerusi filem itu, Sidharth akan menggalas dua watak iaitu Batra dan kembar seirasnya Vishal, sementara Kiara pula akan membawa watak Dimple Cheema.

"Shershaah" yang turut menampilkan aktor lain seperti Jaaved Jaffrey, Shiv Panditt dan Himmanshoo A. Malhotra dijadualkan untuk menemui penonton di pawagam pada 3 Julai 2020.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Wallpaper Access & Lehren)