Pengarah dan pakar koreografi Remo D'Souza mendedahkan perancangannya untuk membikin sebuah filem bertemakan tarian dan memilih Sushant Singh Rajput sebagai peneraju utama.

Menurut Remo, dia menyedari bahawa Sushant mempunyai bakat besar memandangkan dia berjaya mencipta nama sebagai personaliti televisyen dan kemudiannya sebagai bintang filem.

Buat pengetahuan lanjut, Sushant pernah menyertai program realiti tarian "Jhalak Dikhhla Jaa" musim keempat, di mana pada ketika itu Remo adalah salah seorang jurinya.

"Dia beritahu saya, "Encik tahu saya ini seorang penari yang bagus dan encik masih tak ambil saya berlakon dalam filem-filem tarian encik".

"Saya beritahu dia yang saya akan hasilkan banyak filem tarian dan kami pasti akan bekerjasama dalam sebuah filem tarian pada masa akan datang.

"Saya beritahu dia, biar jadual kami kurang padat dan tarikh penggambaran disusun atur terlebih dahulu, barulah kami akan berbincang mengenai sebuah filem," ujar Remo yang dipetik dari News18.

Tambah pengarah filem "Street Dancer 3D" itu lagi, perancangannya membuatkan Sushant berasa terkejut dan sangat gembira, seolah tidak percaya dengan kata-katanya.

Walau bagaimanapun, kini Remo tidak dapat meneruskan perancangannya memandangkan Sushant telah ditemui meninggal dunia akibat bunuh diri di kediamannya Ahad lalu.

Ujar Remo, dia akan terus memperingati Sushant sebagai seorang aktor yang sangat rajin dan juga salah seorang rakan baiknya yang berkongsi pelbagai kenangan indah selama berkecimpung dalam industri.

(Sumber: News18)
(Sumber foto: Wikimedia & Rediff)