Selain berkongsi keserasian menerusi beberapa filem, persahabatan antara dua bintang besar Bollywood iaitu Salman Khan dan Shah Rukh Khan juga terpapar jelas di luar skrin.

Baru-baru ini, sebuah rakaman video di mana Salman mendedikasikan kemenangannya kepada Shah Rukh Khan apabila memenangi anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Filmfare 1999 telah tular di media sosial.

Menurut laporan dari DNA India, Salman memberitahu bahawa Shah Rukh Khan merupakan pemangkin semangatnya dalam filem klasik terkenal "Kuch Kuch Hota Hai" sehingga membawa kepada kemenangannya.

Seperti yang dipaparkan menerusi video itu, Salman turut berharap agar Shah Rukh Khan akan memberi sokongan berterusan kepadanya.

Tindakan aktor filem "Dabangg 3" itu membuatkan para peminat menyedari sikap Salman persis bapanya, Salim Khan, yang turut menyatakan Raj Kapoor menyokongnya dalam sebuah filem berjudul "Diwana".

Dalam acara anugerah yang sama, Shah Rukh Khan juga berjaya merangkul trofi kemenangan untuk kategori Aktor Terbaik Filmfare 1999 untuk filem arahan Karan Johar tersebut.

Beralih ke perkembangan lain, Salman bakal muncul dengan filem besarnya, "Radhe: Your Most Wanted Bhai", yang mana ia telah ditunda ke satu tarikh baru yang masih belum diumumkan.

Sementara itu, Shah Rukh Khan pula akan dilihat menjayakan sebuah watak istimewa dalam filem "Brahmastra" arahan Ayan Mukherjee tidak lama lagi.

(Sumber: DNA India)
(Sumber foto: Urban Asian)