Pemergian Sushant Singh Rajput baru-baru ini sememangnya meninggalkan kesan terhadap industri perfileman Bollywood memandangkan industri telah kehilangan seorang aktor berbakat besar.

Selepas kejayaan filem biopik sukan "M.S. Dhoni: The Untold Story" pada 2016, Sushant pernah mendedahkan impian dan aspirasinya untuk menjadi seorang penerbit filem, namun menghadapi kekangan kewangan.

"Saya membesar dalam sebuah keluarga yang besar dan teringin untuk menyambung pengajian di universiti tetapi tidak kesampaian kerana kami tidak mempunyai wang yang mencukupi.

"Saya tidak dapat merealisasikan impian saya kerana sesuatu yang saya tidak mampu untuk peroleh pada ketika itu. Dunia ini tidak adil. Wang amat penting bagi mereka yang tidak mempunyainya.

"Saya sangat suka membaca skrip. Apabila saya suka sesuatu skrip, saya akan adakan perbincangan untuk jana keuntungan. Kemudian saya akan tonton filem-filem itu. Ia adalah keseronokan bagi saya," ujarnya yang dipetik dari Filmfare.

Tambah Sushant lagi, dia sangat sukakan bidang lakonan dan keseluruhan proses pembikinan filem. Malah dia juga ingin mendorong bakat-bakat muda dan unik untuk menceburi industri perfileman.

Sayangnya, semua itu hanya tinggal impian yang tidak mungkin akan dapat direalisasikan lagi kerana Sushant pergi terlalu awal.

Bakat lakonan Sushant mula disedari oleh produksi Balaji Telefilms dan sejak itu dia mula mencipta nama dalam industri televisyen sebelum ke dunia perfileman pada 2013 menerusi filem "Kai Po Che!".

Kali terakhir Sushant akan dilihat berlakon adalah menerusi filem baru arahan Mukesh Chhabra, "Dil Bechare", yang kini dalam proses pos-produksi.

(Sumber: Filmfare)
(Sumber foto: Independent)