Virat Kohli dan Anushka Sharma merupakan salah satu pasangan selebriti yang terkenal di Bollywood dan sering menarik perhatian ramai dengan keserasian mereka.

Terbaru, Virat, yang juga kapten Pasukan Kriket India, mendedahkan dia sebenarnya berasa gugup ketika pertama kali bertemu dengan Anushka di set penggambaran sebuah iklan.

"Kali pertama saya bertemu dia, jujur saya berasa sangat gementar dan sebab itu saya cuba melawak kerana saya tidak tahu apa lagi yang perlu saya lakukan ketika itu.

"Saya ingat saya cuba menjadi kelakar dan saya katakan sesuatu yang agak tidak sesuai untuk dibicarakan. Lawak saya menjadi detik janggal untuk diri saya. Dia pula sangat berkeyakinan tinggi," ujarnya yang dipetik dari News18.

Pasangan yang menjalin hubungan cinta secara rahsia itu kemudiannya membuat keputusan untuk berkahwin, di mana majlis perkahwinan mereka diadakan secara tertutup di Tuscany, Italy, pada 11 Disember 2017.

"Kami ingin mengadakan sebuah majlis perkahwinan 'home-style'. Hanya ada 42 orang yang hadir, terdiri daripada kawan-kawan dan keluarga kami.

"Saya mahukan ia hanya tertumpu kepada perkahwinan kami dan bukan sebuah majlis perkahwinan besar-besaran pasangan selebriti," dedah Anushka pula.

Dalam perkembangan lain, Anusha telah meriliskan sebuah siri web berjudul "Paatal Lok" dan bakal meriliskan sebuah filem seram, "Bulbbul", menerusi portal penstriman video berbayar.

(Sumber: News18)
(Sumber foto: News18)