Akibat penularan wabak COVID-19 atau Coronavirus, aktres Deepika Padukone terpaksa membatalkan kehadirannya di sebuah acara pertunjukan fesyen sebuah jenama terkenal yang diadakan bersempena Paris Fashion Week 2020 di Perancis.
Baru-baru ini, laporan menyatakan sebanyak 191 kes dan tiga kematian dicatatkan di Perancis dan ia merupakan negara pertama yang mengesahkan penularan wabak itu di Eropah sejak Januari.
"Deepika telah dijadualkan untuk menghadiri pertunjukan fesyen Louis Vuitton bersempena Paris Fashion Week 2020 di Perancis.
"Walau bagaimanapun, dia terpaksa membatalkan perjalanannya selepas berita penularan wabak Coronavirus yang dilaporkan di sana semakin meningkat," ujar jurucakap Deepika yang dipetik dari Sputnik News.
Acara fesyen besar-besaran itu turut dimeriahkan oleh selebriti-selebriti Hollywood seperti Cara Delevigne, Dakota Johnson, Hailey Bieber, Bella Hadid, Blake Lively, Lisa Manoban (Blackpink) dan ramai lagi.
Dalam perkembangan lain, Deepika bakal berkongsi skrin bersama suaminya yang juga aktor, Ranveer Singh, bagi menjayakan filem "83" arahan Kabir Khan.
Bertemakan sukan kriket dan kehidupan bekas atlet kriket Kapil Dev, filem itu bakal ditayangkan pada 10 April 2020.
(Sumber: Sputnik News)
(Sumber foto: Dior)
Public Anonymous User
Tue Mar 03 2020