Aktor Kartik Aaryan yang dilaporkan bakal membintangi sebuah filem aksi 3D arahan Om Raut baru-baru ini meluahkan rasa teruja kerana impiannya untuk berlakon dalam filem aksi akhirnya direalisasikan.
"Sudah lama saya teringin untuk menjayakan filem aksi, dan Bhushan Kumar (penerbit) juga sedia maklum mengenainya.
"Baru-baru ini saya ada menonton "Tanhaji: The Unsung Warrior" dan sejujurnya saya berasa sangat terpegun bukan hanya dengan visual, malah jalan ceritanya.
"Visi Om Raut tak tertanding apabila menghasilkan filem aksi 3D. Saya sangat teruja untuk terlibat sama dalam filemnya yang juga filem aksi pertama saya," katanya yang dipetik dari laporan Mumbai Mirror.
Sementara itu, Om Raut memberitahu dia senang hati apabila Bhushan menyokong visinya untuk menghasilkan filem tersebut dan merasakan Kartik adalah aktor paling sesuai untuk melakonkan watak utama.
Buat masa ini pembikinan filem yang masih belum diberi judul itu masih di peringkat awal dan pihak produksi kini sedang dalam proses akhir pemilihan aktres utama untuk filem itu.
Pembikin filem itu juga mengumumkan bahawa sesi penggambaran akan dijalankan di India serta beberapa lokasi di luar negara.
Selain filem arahan Om Raut, Kartik juga akan membintangi beberapa buah filem baru yang akan ditayangkan sepanjang tahun ini iaitu "Love Aaj Kal", "Bhool Bhulaiyaa 2" dan "Dostana 2".
(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Oye Be Smartest)
Public Anonymous User
Mon Feb 10 2020