Aktres Nora Fatehi dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian dahi semasa menjalani penggambaran filem aksi peperangan "Bhuj: The Pride of India" arahan Abhishek Dudhaiya.
"Saya baru sahaja pulang dari Bhopal selepas menjalani penggambaran filem "Bhuj: The Pride of India". Ia melibatkan banyak babak yang penuh emosi dan padat dengan aksi sehinggakan saya mengalami kecederaan.
"Dalam salah satu babak rakan aktor saya terlempar sepucuk pistol tepat pada wajah saya secara tidak sengaja, menyebabkan dahi saya berdarah dan bengkak.
"Walaupun tidak dapat menahan kesakitan, saya terpaksa meneruskan penggambaran apabila memikirkan jadual pengarah yang padat. Ia meninggalkan parut yang besar pada wajah saya selama seminggu," katanya yang dipetik dari Times of India.
Menerusi filem itu, Nora akan menggalas watak sebagai seorang perisik bernama Heena Rehman, sementara peneraju utama Ajay Devgn sebagai ketua skuadron Vijay Karnik.
Selain Nora dan Ajay, ia turut menampilkan barisan pelakon lain seperti aktor veteran Sanjay Dutt, Sonakshi Sinha, Sharad Kelkar, Ammy Virk, Pranitha Subhash, Mahesh Shetty dan Jay Patel.
"Bhuj: The Pride of India" diinspirasikan dari kisah benar peperangan Indo-Pakistan pada 1971, di mana tiga ratus penduduk wanita tempatan membantu dan membaik pulih pembinaan pangkalan udara di Bhuj, Gujarat.
Diterbitkan oleh Bhushan Kumar, Divya Khosla Kumar dan Krishan Kumar bersama beberapa pembantu penerbit yang lain, "Bhuj: The Pride of India" bakal menggegarkan pawagam pada 14 Ogos 2020.
(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Wallpaper Site)
Public Anonymous User
Thu Feb 06 2020