Penerbit Sajid Nadiadwala mengumumkan berita baik buat para peminat Salman Khan apabila bintang terkenal itu akan disatukan dengan aktres Pooja Hegde buat pertama kali dalam filem "Kabhi Eid Khabi Diwali".
Menurut Sajid, dia telah menulis filem itu sebelum memulakan projek filem "Kick 2" dan berasa teruja untuk kembali bekerjasama dengan Salman selepas enam tahun.
Selain itu, memandangkan mereka pernah bekerjasama dalam "Housefull 4", Sajid berpendapat bahawa Pooja adalah aktres terbaik untuk melakonkan watak dalam "Kabhi Eid Khabi Diwali".
"Pooja mempunyai penampilan yang hebat dalam skrin, sekaligus menjadikan dia dan Salman sebagai satu pasangan bagus. Gandingan mereka akan membawa nafas baru dalam filem ini.
""Kabhi Eid Khabi Diwali" adalah sebuah filem dengan pendekatan yang berbeza dan saya yakin para peminat akan menyukai watak Salman seperti yang kami rancangkan," katanya yang dipetik dari Hindustan Times.
Dalam pada itu, satu sumber mendedahkan Pooja akan menggalas watak seorang gadis kampung yang berlawanan perwatakannya dengan watak Salman.
"Pooja telah banyak membintangi watak gadis kampung dalam filem-filem Selatan seperti "Mukunda", jadi para pembikin berpendapat dia sangat sesuai dengan watak ini," tambah sumber itu lagi.
Diarahkan oleh Farhad Samji, filem "Kabhi Eid Khabi Diwali" dijangka untuk ditayangkan di pawagam pada Aidilfitri 2021.
(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Salman Khan & Pooja Hegde Instagram)
Public Anonymous User
Tue Feb 11 2020